Gerakan Islam kebelakangan ini menghadapi berbagai-bagai rintangan dan halangan yang perit di dalam perjuangannya.
Kita lihat sahaja apa yang berlaku kepada umat Islam di Algeria, Tunisia,Mesir, Palestin dan di merata tempat di pelusuk dunia ini umat Islam ditekan hebat oleh mush-musuh Islam yang didalangi oleh kuasa-kuasa besar dunia dankuncu-kuncunya.
Ini merupakan suatu sunnah dan kita sebagai pejuang Isalm perlulah melengkapkan diri untuk menghadapi cabaran-cabaran yang bakal melanda umat di rantau ini.
SEPINTAS LALU TRIBULASI UMAT TERDAHULU
Secara ringkas dipaparkan di sini tribulasi umat terdahulu dalam perjuangan mereka sebagai renungan kepada kita bersama.
Di antara contoh-contoh tersebut ialah:
a) Nabi Ibrahim a.s. Tribulasi yang dihadapi oleh Nabi Ibrahim a.s. tidak lain dan tidak bukan merupakan rentetan pertarungan antara kebenaran dan kepalsuan.
Kita lihat bagaimana Nabi Ibrahim bangun menentang dan melawan cara hidup jahiliyah tanpa mengira sebarang kemungkinan yang akan berlaku.
Maka berlakulah tentangan dan tekanan hebat daripada kaumnya sedangkan Nabi Ibrahim tanpa memiliki apa-apa kekuatan senjata dan kekuatan penyokong.
Kita lihat di sini bagaimana keimanan kuat Nabi Ibrahim memperjuangkan kebenaran, baginda dipulaukan oleh kaum keluarganya termasuk ibu bapanya sendiri.
Namun itu semua sedikit pun tidak mengubah pendiriannya dan memperjuangkan kebenaran.
Tekanan ke atas Nabi Ibrahim a.s. semakin hebat sehingga baginda dicampakkan ke dalam api yang marak menyala supaya mati terbakar hidup-hidup.
Baginda redha terhadap ujian Allah demi kesetiaan perjuangannya.
Akhirnya Allah memerintahkan api supaya menjadi sejuk sepertimana yang digambarkan melalui firmanNya yang maksudnya: “Kami berfirman: “Hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim!.” Dan mereka (dengan perbuatan membakarnya itu) hendak melakukan angkara yang menyakitinya, lalu Kami jadika mereka orang-orang yang amat rugi, (kalah dengan hinanya).” (Al-Anbiya’: 69 – 70)
Tentangan dan halangan yang dialami oleh Nabi Ibrahim berterusan melambangkan keutuhan dan kemantapan perjuangannya yang tidak kenal undur sehingga akhirnya Allah menjadikannya sebagai salah seorang rasulNya yang terpilih (ulu al-‘azmi.
Firman Allah swt yang bermaksud: “Tidak ada orang yang membenci agama Nabi Ibrahim selain dari orang yang membodohkan dirinya sendiri, kerana sesungguhnya Kami telah memilih Ibrahim (menjadi nabi) di dunia ini; dan sesungguhnya ia pada hari akhirat kelak telahpun dari orang-orang yang soleh yang (tertinggi martabatnya).” (Al-Baqarah: 130)
b) Nabi Musa a.s. Ujian yang dihadapi dan diharungi oleh Nabi Musa a.s. bermula sejak bayinya lagi.
Sebagaimana yang kita tahu, sejarah perjuangan Nabi Musa a.s. dihiasi dengan suasana yang menyayatkan.
Ibunya terpaksa menyelamatkan baginda dari kekejaman Firaun dengan menghanyutkan baginda ke sungai.
Seterusnya ujian demi ujian berterusan dan semakin besar seiring dengan membesarnya Nabi Musa a.s. Nabi Musa a.s. tidak putus as dan tabah dalam memimpin satu bangsa manusia yang telah biasa tunduk dan memberi ketaatan total kepada raja mereka Firaun.
Baginda bukan sahaja berhadapan dengan rajanya yang zalim tetapi juga pembesar-pembesarnya yang tidak berperikemanusiaan dan suka menindas yang lemah.
Dalam suasana beginilah Nabi Musa a.s. diperintah supaya menyeru Firaun yang berada di puncak kezaliman supaya tunduk dan patuh menyembah Allah.
Sikap sombong dan angkuh Firaun telah disebutkan oleh Allah s.w.t di dalam al-Quran.
Di antaranya Allah menggambarkan keangkuhan dan kezaliman Firaun yang tiada tolok bandingnya dengan firmanNya yang bermaksud: “Sesungguhnya Firaun telah berlaku zalim di bumi (Mesir) dengan melampaui batas, serta ia menjadikan penduduknya berpuak-puak. Ia menindas sepuak di antaranya dengan membunuh anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya adalah ia dari golongan yang membuat kerosakan.” (Al-Qasas: 4)
Begitu kejamnya Firaun sehingga terkadang Nabi Musa a.s. sendiri merasa gerun dan gementar menghadapi tribulasi perjuangan dalam menentang Firaun.
Lebih-lebih lagi apabila perjuangan Firaun itu sendiri disokong oleh tukang-tukang sihir yang terkenal dan zalim.
Hal ini telah dirakamkan oleh Allah sebagaimana firmanNya yang bermaksud: “Maka yang demikian menjadikan Nabi Musa merasa takut sedikit dalam hatinya. Kami berfirman kepadanya: “Janganlah engkau takut (wahai Musa)! Sesungguhnya engkaulah yang tertinggi mengatasi mereka dengan kemenangan.” Dan campakkanlah apa yang ada di tangan kananmu, nescaya ia menelan segala (benda-benda sihir) yang mereka lakukan, kerana sesungguhnya apa yang mereka lakukan itu hanyalah tipu daya ahli sihir, sedang ahli sihir itu tidak akan beroleh kejayaan, di mana sahaja ia berada.” (At-Taha: 67 – 69)
c) Nabi Isa a.s. Tribulasi yang dihadapi oleh Nabi Isa a.s. sungguh hebat. Hebat atau tidaknya halangan-halangan yang dihadapi oleh baginda dapat kita lihat daripada mukjizat yang dikurniakan oleh Allah kepadanya.
Bagaimana Allah mengurniakan kepadanya mukjizat-mukjizat besar yang menghasilkan peristiwa-peristiwa yang luar biasa tetapi ini pun tidak memberikan kesan yang besar yang boleh diharapkan dari kaumnya.
Namun begitu Nabi Isa tidak berputus asa dalam perjuangan malah tabah dan sabar menghadapi tribulasi perjuangan walaupun dimaki hamun oleh kaumnya ketika menyampaikan seruan dakwah.
Nasihat dan pesanan Nabi Isa a.s. kepada pengikutnya dapat menunjukkan kepada kita betapa tabah dan cekalnya baginda dalam menjalankan kerja-kerja dakwah.
Sebagai contoh, baginda pernah berkata kepada pengikut-pengikutnya: “Berbahagialah kamu jika mereka memaki hamun dan mengusir kamu dan mengatakan kepada kamu segala perkataan yang jahat lagi dusta keranaku…Bergembiralah kamu lantaran pahala kamu sangat besar di langit.
Begitulah para nabi terdahulu juga pernah diusir dan dikeji lantaran perjuangan mereka… Kemuncak kepada tribulasi perjuangan Nabi Isa a.s. adalah usaha untuk membunuhnya.
Namun, usaha tersebut gagal kerana datangnya pertolongan Allah menyelamat dan mengangkatnya ke langit.
Ini dirakamkan oleh Allah s.w.t. di dalam Al-Quran dengan firmanNya yang bermaksud: “Dan juga (disebabkan) dakwaan mereka dengan mengatakan : “Sesungguhnya kami telah membunuh Al-Masih Isa Ibn Maryam, Rasul Allah.” Padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak menyalibnya (di kayu palang – salib), tetapi diserupakan bagi mereka (orang yang mereka bunuh itu seperti Nabi Isa). Dan sesungguhnya orang-orang yang telah berselisih faham, mengenai Nabi Isa, sebenarnya mereka berada dalam keadaan syak (ragu-ragu) tentang menentukan (pembunuhannya). Tiada sesuatu pengetahuan pun bagi mereka mengenainya selain daripada mengikut sangkaan semata-mata; dan mereka tidak membunuhnya dengan yakin. Bahkan Allah telah mengangkat Nabi Isa kepadaNya; dan adalah Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Al-Nisa’: 157 – 158)
d) Nabi Muhammad s.a.w. Cabaran yang dihadapi oleh Rasulullah s.a.w. juga tidak kurang hebatnya.
Bermula dari perang saraf hinggalah cubaan-cubaan untuk membunuhnya. Kita juga lihat bagaimana baginda bersama-sama dengan para sahabat baginda turun ke medan perang, berjihad mempertahankan aqidah sanggup mempertaruhkan nyawa dan mengorbankan harta benda semata-mata memperjuangkan ajaran yang suci ini.
1. Perang Saraf Dalam usaha untuk melumpuhkan daya juang Rasulullah s.a.w., kaum jahiliyah telah menggunakan segala taktik psikologi yang tidak ada langsung kesopanan.
Mereka menggunakan ejekan dan kejian serta mempersendakan Rasulullah s.a.w. supaya baginda akan patah semangat dan meninggalkan perjuangan. Ini dapat dilihat melalui firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Dan mereka berkata: “Kami tidak sekali-kali akan beriman kepadamu (wahai Muhammad), sehingga engkau memancarkan mata air dari bumi, bagi kami. Atau (sehingga) engkau mempunyai kebun dari pohon-pohon tamar dan anggur, kemudian engkau mengalirkan sungai-sungai dari celah-celahnya dengan aliran yang terpancar terus-menerus. Atau (sehingga) engkau gugurkan langit berkeping-keping atas kami, sebgaimana yang engkau katakana (akan berlaku); atau (sehingga) engkau bawakan Allah dan malaikat untuk kami menyaksikannya. Atau (sehingga) engkau mempunyai sebuah rumah terhias dari emas; atau (sehingga) engkau naik ke langit; dan kami tidak sekali-kali akan percaya tentang kenaikanmu ke langit sebelum engkau turunkan kepada kami sebuah kitab yang dapat kami membacanya.” Katakanlah (wahai Muhammad) : “Maha Suci Tuhanku! Bukanlah aku ini hanya seorang manusia yang menjadi Rasul?” (Al-Isra’: 90)
Bila kerja-kerja itu gagal dan tidak dapat mematahkan semangat Rasulullah s.a.w., mereka menyebarkan fitnah bahawa Rasulullah s.a.w. ini sudah gila, ahli sihir dan sebagainya.
Tetapi itu semua menambahkan lagi semangat dan ketabahan Rasulullah s.a.w. terhadap perjuangan di mana akhirnya selepas itu orang-orang Arab jahiliyah berusaha untuk membunuhnya tetapi Allah s.w.t. memberi perlindunganNya dari usaha tersebut.
2. Peperangan Halangan-halangan terhadap usaha dakwah Rasulullah s.a.w. berterusan sehingga menghendaki Rasulullah dan para sahabatnya menggadaikan nyawa dan harta benda dalam meneruskan perjuangan bagi memastikan ‘survival’ ajaran Islam ini.
Dalam peperangan Uhud misalnya, bapa saudara Rasulullah s.a.w. turut terbunuh manakala Rasulullah sendiri luka-lika dan nyaris maut.
Peperangan in iturut menyaksikan kesetiaan dan pengorbanan para sahabat Rasulullah s.a.w. di saat-saat yang sangat mencemaskan seperti Abu Talhah r.a. dan Ziad bin Sakan r.a. yang menjadikan diri mereka sebagai perisai bagi melindungi Rasulullah s.a.w. dari terkena panah pihak musuh.
Begitu juga dalam peperangan lain kita lihat betapa hebatnya pengorbanan untuk memastikan Islam ini dapat terus berkembang dan menewaskan penghalang-penghalang kepada perkembangannya.
3. Halangan-halangan Terhadap Kerja Dakwah Di dalam kehidupan pendakwah terdapat banyak halangan dan rintangan yang menggugat nasib pejuang-pejuang Islam.
Tetapi persediaan yang baik, dan bimbingan yang betul berserta dengan sikap yang berhati-hati dapat menjaga dan memelihara pekerja-pekerja dakwah dari penyelewengan dan terjerumus ke lembah kehancuran dan dalam waktu yang sama melalui proses masa dapat menyediakan pekerja-pekerja dakwah ini tahan menghadapi ujian dan cabaran serta matang di dalam melakukan tindakan dan berfikir.
Sebenarnya, masalah utama yang dihadapi oleh pendakwah masa kini ialah soal ketahanan jiwa untuk menghadapi segala macam cabaran di dalam perjuangan.
Satu perkara yang mesti kita faham, bahawa segala idea atau kefahaman hanya akan tinggal sebagai slogan dan teori kosong selagi nilai dan kefahaman itu tidak dijelmakan ke dalam kehidupan seharian.
Apa yang lebih menyulitkan para pendakwah masa kini ialah mereka sedang hidup di dalam suasana apa yang boleh kita sebut sebagai jahiliyah moden, di mana kehidupan masyarakat kini jauh menyimpang dari Islam itu sendiri yang mana material menjadi ukuran.
Masyarakat yang hidup dengan perkara-perkara terlarang dan merosakkan menjadi simbol kepada kemajuan dan tamadun sementara sikap wara’ dan kehidupan beragama dianggap sebagai ekstrim dan melampau malah di sesetengah negara mereka dilabelkan sebagai usuliyun mutatorrifun (puak pelampau).
Oleh sebab itu, sekiranya para pendakwah sendiri tidak mempunyai aqidah yang teguh, budi pekerti yang luhur, kesungguhan yang kental, tidak bersungguh-sungguh memuhasabah diri, lali dari mengingati dan bertawakal kepada Allah serta tidak wara’ daripada mengerjakan perkara-perkara yang meragukan, begitu juga kalau mereka ini tidak bersungguh-sungguh salam mengerjakan ibadah maka sudah pastilah mereka ini juga boleh mendapat jangkitan dari penyakit-penyakit jahiliyah moden yang sedang dan telah merebak ke dalam masyarakat Islam.
Secara ringkasnya dikemukan di sini halangan-halangan pada kehidupan pendakwah dan secara langsung merupakan rintangn dan halangan terhadap kerja-kerja dakwah.
HALANGAN PERTAMA :WANITA
Dalam kehidupan pendakwah malah manusia umumnya, wanita amat memainkan peranan penting. Wanita boleh membawa nikmat atau sumber yang membawa padah.
Dalam kehidupan pendakwah terdapat kedua-dua gambaran ini. Ada pendakwah yang selepas berkahwin menjadi semakin baik Islamnya, semakin kukuh pendiriannya dan bertambah baik komitmennya dan sumbangannya terhadap kerja-kerja dakwah.
Sebaliknya, ada yang terus merosot selepas berkahwin dan ada pula yang rosak perangainya bahkan ada juga yang terus hilang dari pentas dakwah.
Kesemuanya ini ada sebab dan munasabah. Kegagalan ini berlaku tidak lain adalah kerana pembentukan keluarga yang bakal dibuat mengambil kira lunas-lunas yang telah ditentukan oleh Islam serta mengabaikan tuntutan perjuangan dan medannya yang panjang di mana ia memerlukan kepada sumbangan yang berterusan dari tenaga-tenaga pejuang.
Oleh itu, kegagalan para pendakwah di dalam perkahwinan mereka adalah lantaran mereka terpengaruh dengan perkara lahiriah semata-mata dan lupa tentang matlamat utama perkahwinan itu.
Di sini digariskan prinsip-prinsip utama perkahwinan itu:
1. Mempunyai Niat Yang Baik Islam menghendaki agar tujuan perkahwinan itu adalah untuk menyempurnakan agama.
Ini sesuai dengan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Daripada Anas bin Malik r.a.., telah bersabda Rasulullah s.a.w.: Barangsiapa yang dikurniakan oleh Allah seorang perempuan yang soleh, maka sesungguhnya ia telah dapat menolongnya menyempurnakan separuh dari agamanya.
Maka hendaklah ia bertaqwa kepada Allah dalam separuh lagi.” (Riwayat al-Tabrani) Dalam hadith yang lain pula Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya: Daripada Anas bin Malik r.a., telah bersabda Rasulullah s.a.w.: “Apabila seseorang hamba itu berkahwin, maka sesungguhnya ia telah menyempurnakan separuh daripada agamanya, maka hendaklah ia bertaqwa kepada Allah dalam separuh lagi.” (Riwayat al-Tabrani)
Begitu juga Islam mahukan perkahwinan itu, menjadi facktor utama di dalam memelihara kemurniaan jiwa dan kesuciannya.
Oleh sebab itu, Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya: Hadis Abdullah bin Mas’ud r.a.: Diriwayatkan daripada Alqamah r.a. katanya: Aku pernah berjalan-jalan di Mina bersama Abdullah r.a. Kami bertemu dengan Uthman r.a. yang kemudian menghampiri Abdullah r.a.
Setelah berbincang beberapa ketika, Uthman r.a. bertanya: Wahai Abu Abdul Rahman: Mahukan aku jodohkan kamu dengan seorang perempuan muda? Mudah-mudahan perempuan itu akan dapat mengingatkan kembali masa lampaumu yang indah.
Mendengar tawaran itu Abdullah r.a. menjawab: apa yang kamu ucapkan itu adalah sejajar dengan apa yang pernah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. kepada kami: “Wahai golongan pemuda! Sesiapa di antara kamu yang telah mempunyai keupayaan iaitu zahir dan batin untuk berkahwin, maka hendaklah dia berkahwin.
Sesungguhnya perkahwinan itu dapat menjaga pandangan mata dan menjaga kehormatan. Maka sesiapa yang tidak berkemampuan, hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu dapat mengawal iaitu benteng nafsu.”
Selain itu, Islam mahukan perkahwinan itu untuk membangunkan keluarga Islam bagi menjadi asas yang kukuh dalam pembangunan masyarakat Islam.
Ini merupakan impian setiap mukmin yang mahukan keluarga yang baik dan penyenang hati, sebagaimana yang digambarkan oleh Allah s.w.t. dengan firmanNya yang bermaksud: “Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.” (Al-Furqan: 74)
Namun begitu, jika sekiranya seseorang itu berkahwin kerana semata-mata kerana ingin memuaskan keinginan seks, maka kehidupan seks itulah yang akan menjadi ibadatnya dan menjadikannya tenggelam di dalam kehidupannya itu.
2. Pemilihan Yang Baik Perkara kedua di dalam soal ini ialah Islam menekankan supaya kita membuat pemilihan yang baik.
Pemilihan ini adalah suatu factor utama yang dapat membawa kepada pasangan yang berkahwin itu hidup secara Islam di samping merupakan faktor yang boleh membawa kepada kemesraan dan keserasian di antara kedua-dua pasangan berkenaan.
Rasulullah s.a.w. telah menjelaskan bahawa terdapat empat perkara yang dijadikan asas kepada pemilihan pasangan iaitu agama, keturunan, kecantikan dan kekayaan.
Namun, pemilihan di atas dasar agama adalah yang mesti diberikan keutamaan.
3. Peribadi Suami Sebagai Asas Islam mengingatkan para suami supaya jangan terlalu mengikut kemahuan isteri demi menjaga kewibawaan dan ketuanan seorang suami di dalam rumahtangga.
Kerendahan peribadi suami (pada pandangan isterinya) boleh membawa kepada keruntuhan rumahtangga bersama para anggotanya.
Oleh itu, Imam al-Ghazali menasihatkan para suami dengan katanya: “Diri perempuan itu mengikut keadaan dirimu.
Jika engkau lepaskan sedikit tali penambatnya, ia akan membawamu pergi jauh. Jika engkau kendurkan sejenak kekangnya dan memegangnya dengan kemas di waktu yang perlu maka engkau akan dapat memenanginya.”
Oleh sebab itu, peribadi suami memainkan peranan yang penting di dalam kehidupan berumahtangga.
Pihak suami hendaklah bersikap bijak dalam menyelesaikan segala permasalahan dengan neraca Islam. Saidina Umar r.a. pernah berkata: “Lawanlah kemahuan wanita itu kerana pada demikian itu ada berkatnya.”
HALANGAN KEDUA : KEDUNIAAN
Halangan seterusnya kepada para pendakwah ialah pengaruh dan tarikan keduniaan.
Dalam hal ini, Islam mengemukakan beberapa metod bagi membentuk penganutnya supaya tidak mudah terpedaya dengan tipu daya keduniaan.
Cara-cara tersebut adalah: Pertama Islam menjelaskan bahawa kedudukan dunia itu jika dibandingkan dengan akhirat adalah sangat kerdil sebagaimana dinyatakan oleh Allah s.w.t. di dalam al-Quran yang maksudnya:
“Katakanlah (wahai Muhammad) : Harta benda yang menjadi kesenangan di dunia ini adalah sedikit sahaja, (dan akhirnya akan lenyap), dan (balasan) hari akhirat itu lebih baik lagi bagi orang-orang yang bertaqwa (kerana ia lebih mewah dan kekal selama-lamanya).” (Al-Nisa’: 77)
Pada suatu hari Rasulullah s.a.w. bersama-sama sahabatnya melalui suatu bangkai seekor biri-biri.
Bagi menjelaskan hakikat dunia ini Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya: Daripada al-Mustaurid bin Syaddad katanya : “Aku berjalan bersama-sama Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya melalui suatu bangkai seekor biri-biri, lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: “Adakah kamu berpendapat bahawa biri-biri itu telah menjadi hina dan tidak berharga lagi bagi tuannya?”
Lalu para sahabat menyahut: Di antara bukti kehinaannya ialah mereka telah membuangnya wahai Rasulullah.
Lalu Baginda bersabda: “Sesungguhnya dunia ini lebih hina daripada kehinaan bangkai kambing biri-biri ini pada tuannya.” (Riwayat al-Tirmizi).
Kedua Islam mengingatkan supaya tidak menjadikan dunia sebagai punca persaingan di antara sesama manusia.
Oleh itu Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: “ Diriwayatkan daripada Umar bin Auf r.a. katanya: “Rasulullah s.a.w. telah mengutuskan Abu Ubaidah bin al-Jarrah ke Bahrain.
Dia pergi ke Bahrain untuk mengambil jizyah ahli Bahrain kerana Rasulullah s.a.w. telah membuat perjanjian dengan penduduk Bahrain.
Rasulullah s.a.w. telah memerintahkan Al-A’la bin al-Hadhrami untuk mengutip jizyah dari penduduk Bahrain.
(Selepas itu) Abu Ubaidah pulang dari Bahrain dengan harta jizyah.Orang-orang Ansar telah mendengar (khabar) kepulangan Abu Ubaidah maka mereka (orang-orang Ansar) datang bersembahyang Subuh bersama Rasulullah s.a.w.
Selesai sembahyang, Rasulullah s.a.w. berpaling menghadap rombongan. Mereka menyerahkan wang kutipan jizyah kepada baginda. Rasulullah s.a.w. senyum ketika melihat ahli rombongan tersebut, kemudian baginda bersabda: Aku kira kamu semua (orang Ansar) telah mendengar (khabar) kepulangan Abu Ubaidah dari Bahrain membawa sesuatu.
Mereka menjawab: Memang benar wahai Rasulullah. Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: “Maka beritahulah khabar gembira ini dan bercita-citalah apa yang menggembirakan kami (dengan wang ini).
Demi Allah! Aku tidak takut kefakiran menimpa kamu semua akan tetapi aku amat takut apabila dunia dihampar di hadapan kamu (diberikan kemudahan memiliki nikmat dunia) sebagaimana yang telah diberikan kepada mereka sebelum kamu lalu kamu berlumba-lumba untuk memilikinya sebagaimana mereka.
Dunia itu akan menghancurkan kamu sebagaimana ia menghancurkan mereka.”
Ketiga Islam mengingatkan supaya kecintaan terhadap dunia jangan menguasai hati sehingga ianya menyibukkan seseorang dengan keduniaan dan menghalangnya dari mencari bekalan untuk akhirat.
Oleh itu Islam menggalakkan kezahidan terhadap dunia serta membebaskan diri daripada ditawan.
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa yang cinta kepada dunia dan seronok serta leka kerananya, maka hilanglah daripada hatinya rasa takut kepada akhirat.”
Tetapi maksud dan falsafah kezahidan bukan bererti Islam menyekat seseorang daripada berusaha, bekerja dan membangunkan dunia ini sebagaimana yang difahami oleh sesetengah orang, tetapi yang sebenarnya kezahidan itu adalah cuma untuk memelihara kita daripada menyembah dan tunduk kepada lambaian dunia.
Sebab itu, apabila Rasulullah s.a.w. ditanya tentang hakikat kezahidan itu, baginda bersabda yang maksudnya: “Bukanlah kezahidan itu dengan mengharamkan perkara-perkara yang halal dan tidak pula mengsia-siakan harta benda.
Tetapi kezahidan terhadap dunia itu adalah bahawa kamu lebih mengutamakan apa yang ada ditangan Allah daripada apa yang ada ditanganmu.”
Begitu juga sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam Ahmad sewaktu seseorang menyoal tentang zahid: “Adakah seseorang itu zahid sedangkan ia memiliki seribu dinar?”Jawab Imam Ahmad: “Ya”. Lalu ditanyakan lagi kepadanya:
“Jadi apakah bukti kezahidan? “Jawab beliau: “Buktinya ialah jika bertambah hartanya ia tidak bergembira dan jika berkurangan pula ia tidak berdukacita.”
KESIMPULAN
Halangan-halangan yang dinyatakan di atas menyebabkan terdapat di kalangan yang terlibat dengan kerja-kerja Islam meninggalkan medan dakwah.
Secara ringkasnya boleh disimpulkan seperti berikut :
a) Tidak Tahan Menghadapi Ujian Ujian dalam kehidupan pendakwah adalah besar yang memerlukan banyak pengorbanan.
Oleh itu, ramai orang yang meninggalkan medan ini kerana tidak sanggup menanggung ujian ini, walaupun dahulunya ianya begitu bersemangat.
Al-Quran menjelaskan ujian ini pasti berlaku demi untuk menguji keyakinan dan keimanan seseorang hamba Allah s.w.t. sebagaimana firmanNya yang bermaksud: “Alif, Laam, Miim.
Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman! Sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?” (Al-Ankabut: 1 – 2)
FirmanNya lagi yang bermaksud: “Dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (wahai orang-orang yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang adanya orang-orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami); dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita-berita tentang keadaan kamu.” (Muhammad: 31)
b) Tidak Tahan Terhadap Tekanan Keluarga Tidak tahan dengan tekanan keluarga dari ibu bapa, anak dan isteri menyebabkan pendakwah meninggalkan medan.
Seringkali keluarga menakut-nakutkan mereka tentang nasib buruk yang bakal dialami.
Terdapat pula ibu bapa yang menghalang anak-anaknya terlibat dalam kerja-kerja Islam, malah sebaliknya menggalakkannya terlibat dalam perkara-perkara mungkar.
Dalam keadaan yang lain pula ada di kalangan mereka yang menyekat memberi bantuan kewangan supaya anaknya meninggalkan jalan Allah s.w.t.
Dalam hal ini Allah s.w.t. memberi amaran supaya jangan tunduk terhadap tekanan dan desakan keluarga supaya meninggalkan jalan Allah s.w.t. malah terus kekal berjuang dan berjihad pada jalanNya sepertimana firmanNya yang bermaksud:
“Katakanlah (wahai Muhammad) : Jika bapa-bapa kamu dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semua itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).” (Al-Taubah: 24).
c) Tidak Tahan Kepada Tekanan Persekitaran Halangan-halangan persekitaran juga banyak menjadikan pendakwah berundur dari medan.
Kadang-kadang seseorang dibesarkan di dalam persekitaran yang mengambil berat soal agama dan penghayatannya.
Tetapi mungkin apabila mereka berpindah ke persekitaran baru samada kerana belajar, bekerja dan sebagainya lalu ia persekitaran barunya itu penuh dengan perkar-perkara jahat dan penuh dengan daya tarikan jahiliyah.
Maka, di sinilah bermulanya pergolakan di dalam jiwanya samada ia akan terpengaruh atau sebaliknya.
Terdapat beberapa factor yang menyebabkan seseorang itu tewas dalam menghadapi tekanan-tekanan tersebut:
· Mungkin asas pembentukannya tidak betul, seperti ianya mempunyai kegoncangan dan keraguan di dalam aqidahnya.
· Boleh jadi iltizamnya di dalam arena dakwah selama ini disebabkan oleh malu dengan keadaan sekitar ataupun hanya iltizam ikutan, bukan berdasarkan kepada iman yang benar-benar yakin.
Oleh itu, apabila ia berpindah ke persekitaran yang lain maka hilanglah iltizamnya kerana factor-faktor yang mendorongnya ini tidak ada lagi.
· Boleh jadi dia sendiri enggan melibatkan diri dalam kumpulan dakwah dalam persekitaran kedua di mana ia lebih suka menggabungkan diri ke dalam kumpulan jahiliyah.
Ia sangat merbahaya kerana mungkin menggugurkannya terus dari medan dakwah dan tidak mendapat inayah dari Allah s.w.t.
d) Tekanan-tekanan Dari Gerakan Lain Antara faktor yang juga menjadi halangan kepada pendakwah ialah tekanan-tekanan dari gerakan-gerakan lain yang bertopengkan Islam.
Ini ditambah lagi dengan serangan dari gerakan atau pertubuhan secular yang sememangnya jelas memusuhi dan sangat anti kepada perkembangan dakwah.
Gerakan yang bertopengkan Islam tersebut kerjanya hanya mengkritik dan menimbulkan keraguan kepada pendakwah dengan tujuan menghancurkan gerakan Islam di atas nama Islam.
Oleh itu, kemunculan pelbagai kumpulan amal Islami tidak boleh dianggap sebagai satu amalan yang sihat kerana ia boleh menyebabkan persengketaan sesama sendiri dan mengalihkan tugas sebenar ke suatu tugas yang lain iaitu mempertahankan diri dari serangan gerakan lain. Jadi kerja-kerja yang dilakukan oleh kumpulan ini adalah suatu kerja yang tidak berfaedah selain menyebabkan lebih ramai orang meninggalkan kerja-kerja Islam, di waktu yang sama mereka melegakan musuh-musuh Islam kerana kemenangan kepada Islam semakin lambat.
Demikianlah secara ringkas halangan-halangan di dalam perjuangan dakwah. Semoga ia menjadi titik renungan kita bersama dan menjadikannya sebagai sempadan dan berwaspada terhadap cabaran-cabaran itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan